老师想说 #26

信件主旨:《SAHABAT KIRIMAN TUHAN》

寄件人: Cikgu Roziana Mohd Zain (Jabatan BM)

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar dalam diari hidup saya sebagai seorang pendidik. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara memberikan kesedaran dan pengajaran tentang betapa pentingnya kita menguasai teknologi maklumat.

Perjuangan di alam maya membuatkan saya hampir berputus asa dan menganggap diri saya telah GAGAL kerana tidak mampu mengharungi cabaran dan kekangan ketika melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (pdPR).

Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai pendidik yang kurang pengetahuan tentang teknologi. Namun, perjalanan berliku itu dapat saya harungi kerana seorang sahabat yang telah membantu saya menguasai teknologi yang dahulunya amat mustahil! CIKGU SUHANA MANADI … nama yang akan terpahat dalam hati saya buat selamanya.

Bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan telah membuatkan segalanya berada di hujung jari.

Tidak mungkin saya berjaya mengharungi tahun 2020 tanpa beliau di sisi saya. Terima kasih jua saya titipkan buat Cikgu Chin Yee Fah, Cikgu Wong Tze Ling, Cikgu Audrey Chung, Cikgu Merkhadijah, Cikgu Nurlina dan rakan guru yang lain [Jabatan BM] kerana tanpa bantuan dan sokongan mereka, perjuangan ini tidak mungkin dapat diteruskan.

Merekalah sahabat kiriman Tuhan yang menjadi penyuluh ketika kegelapan dan menjadi obor penunjuk jalan. Tanpa mereka …perjalanan ini pastinya menjadi amat sukar!

Buat murid-murid yang dikasihi dan rakan-rakan seperjuangan … janganlah kita malu untuk belajar kerana malu berkayuh perahu hanyut! Sekian.