老师想说 #18

信件主旨:《Setiap insan punya singa yang masih tidur didalam dirinya》

寄件人: Cikgu Dedona Jabatan sejarah STTSS

Sudah hampir dua tahun kita berdepan dengan Pandemik Covid-19 yang menyebabkan semua orang perlu duduk rumah. Guru dan pelajar juga tidak terkecuali. Namun, kehidupan kita ini ibarat sebuah basikal, untuk kekalkan keseimbangan kita perlu terus mengayuh untuk bergerak kedepan.Seperti tema hari guru tahun ini ‘ Berguru demi Ilmu, bina generasi baru’ , guru mencurahkan ilmu menggunakan pelbagai kaedah. Pelajar pula terpaksa belajar dari rumah dengan macam-macam ragam. Ada yang sehingga perlu memanjat pokok demi mendapatkan signal. Berikhtiar adalah kekayaan bagi orang yang mencari ilmu.

Mahu menuliskan puisi, cikgu bukanlah pemuisi hebat , mahu menuliskan sebuah cerita , cikgu bukan juga seorang pendongeng , mahu menuliskan kata-kata motivasi, cikgu juga tidak hebat bicaranya seperti Dr. Fadzilah Kamsah. Hanya saja kerana cikgu adalah guru maka cikgu kongsikan sedikit kata-kata yang mungkin boleh jadi bacaan ketika pelajar terasa lelahnya belajar.

Belajar adalah sebuah proses yang tak pernah lekang oleh waktu. Wajar, terkadang ketika belajar kita merasa lelah dan bosan. Apa lagi semuanya perlu online. Itu lumrah dan wajar serta biasa berlaku kerana kita manusia. Namun dalam keadaan begitu jangan sampai kita berlarut-larut. Seorang yang bergelar pelajar perlu bangkit, perlu semangat demi meraih cita-cita.

Jangan selalu mengatakan saya sentiasa gagal. Selalu membayangkan kejayaan. Laluilah setiap halangan, ujian atau peperiksaan dengan lapang dada dan senyum. Anda pasti berjaya.

Permulaan bagi setiap kejayaan adalah keinginan. Orang yang berjaya sentiasa melakukan sesuatu yang tidak ingin dilakukan oleh orang yang gagal. Jadi, mulakan hari ini , makin awal kamu memulai sesuatu pekerjaan, makin awal kita melihat hasilnya.

Sekiranya gagal sekali, jangan takut akan kegagalan melebihi kemanisan kemenangan. Kelemahan utama kita terletak pada putus asa. Jangan berputus asa, putus asa hanya untuk pecundang. Cara yang paling mudah untuk merasa kemanisan kejayaan ialah bangkit untuk cuba sekali lagi. Gagal sekali bukan gagal selamanya.

Tidak semua lahir dunia itu bijak. Tapi tuhan Maha Pemurah, kejayaan pasti akan menjadi milik orang yang berusaha keras dan bersungguh.

Peperiksaan itu seperti haiwan yang liar, singa yang bengis tetapi jika anda faham cara menjinakkannya , fahami tingkah lakunya,seharian bersamanya tidak mustahil suatu hari nanti singa itu akan tunduk dan jinak seperti kucing. Sama seperti peperiksaan, kaji bentuk soalan, kaji tingkah laku soalan dan persiapkan diri dengan ilmu. Segalanya akan berada dalam genggaman. Belajar bukan sekadar mengingat dan menghafal. Fahamilah soalan tersebut ibarat anda ialah kekasihnya.

Akhir kata, jadilah seperti seekor singa, kuasai tanahmu, kuasai dirimu. Yakinlah Setiap insan punya potensi di dalam diri. Setiap insan punya singa yang masih tidur didalam dirinya, ayuh bangkit , ayuh kejutkan singa di dalam dirimu. Jadikan ia senjata untuk membantu dirimu. Percayalah pada diri sendiri, keluarkan singa yang ada di dalam diri. Tahap kejayaan sesorang sangat dipengaruhi oleh betapa kerasnya perjuangan yang sudah dilakukan.Jika kamu berusaha, yakinlah kejayaan menjadi milik anda.